
GUA MUSANG – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan masyarakat Orang Asli, kerajaan Pas yang menerajui negeri ini tidak berjanji untuk menyelesaikan semua masalah berkaitan Orang Asli.
Ia berikutan kaum-kaum lain seperti Melayu, Cina dan India di negeri ini juga mempunyai masalah yang perlu diselesaikan, katanya dalam pertemuan dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Langsat, Kuala Betis pada petang Sabtu.
“Jika kita diberi peluang mendalami, menyelami, insya-Allah kita akan ambil tanggungjawab kerajaan Kelantan kerana Orang Asli juga rakyat negeri Kelantan.
“Kita tak janji nak menyelesaikan semua masalah, sebab orang Melayu, Cina, India juga ada masalah yang kita tak dapat selesaikan.
“Tapi kita janji… kita janji akan melihat permasalahan setakat mana yang kita boleh selesaikan insya-Allah,” katanya.
Hadir sama pada pertemuan dengan masyarakat Orang Asli di kawasan itu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Untuk rekod Orang Asli merupakan pengundi yang setia kepada BN di DUN Nenggiri.
Pada pilihan raya negeri yang lalu calon Pas hanya memperoleh lebih 100 undi daripada pengundi masyarakat Orang Asli.
Sementara itu, Mohamed Fadzli berkata, isu penerokaan hutan bagi tujuan pembalakan juga sudah terkawal dan tidak lagi menyusahkan masyarakat Orang Asli.
“Itu menunjukkan kerajaan Kelantan dapat selesaikan (isu penerokaan hutan) dari semasa ke semasa.
“Sebahagian (isu) diselesaikan kerajaan negeri, tinggal lagi (masalah) infrastruktur, itu sepatutnya Jakoa,” katanya lagi.







