KUANTAN – Pahang menggunakan kelebihan memiliki jajaran hutan panjang atau ‘Old Jungle Rail’ dengan menawarkan produk pelancongan baharu unik dan berbeza menerusi Pahang Rail Tourism 2024.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Tourism Pahang, Tourism Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus.
Katanya, laluan kereta api di negeri ini terletak di sepanjang Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus melalui zon pelancongan semula jadi.
“Kita promosikan lagi kepada semua pelancong terutamanya datang ke Lipis, yang memiliki banyak tempat menarik dengan menggunakan kereta api yang diubahsuai lebih selesa, menarik dan masanya tepat selain dapat menikmati pemandangan semula jadi.
“Usaha ini dapat meningkatkan jumlah pelancong ke Pahang dan itulah tujuan kita, kalau tidak berusaha sebegini kita bimbang negeri-negeri lain ada cara sendiri untuk promosi kehadiran pelancong yang memiliki banyak pilihan.
“Kalau kita kurang promosi dan kemudahan, mereka (pelancong) akan beralih ke tempat lain,” katanya selepas merasmikan Pahang Rail Tourism 2024 di Stesen KTMB Kuala Lipis, hari ini.
Hadir sama, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang, Leong Yu Man dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohammad.
Wan Rosdy berkata, perkhidmatan kereta api pada masa kini bukan lagi sekadar pengangkutan semata-mata tetapi ia perlu dipertingkatkan sebagai produk pelancongan yang unik dan menarik.
Pahang Rail Tourism menawarkan 38 pakej membabitkan sembilan agensi pelancongan berdaftar dari seluruh Pahang.
Antara lokasi menarik di sepanjang laluan itu adalah Taman Negara Pahang Sungai Relau, Gua Sisik Naga, Gua Tahi Bintang, Bandar Kuala Lipis, Kuala Sungai Lipis dan Taman Eko Rimba Kenong.




