
SEORANG pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan yang menghidap masalah jantung mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Chenta Rifqa Mohd Izdwan, 13, kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) manakala ibu bapanya terbeban dengan kos rawatan yang tinggi.
Menerusi hantaran Facebook, Wan Rosdy berkongsi detik ketika beliau menziarah remaja tersebut, pada Isnin.
“Saya sempat berbual dan memberi kata-kata semangat kepada adik Chenta selain menyampaikan sumbangan peribadi kepadanya.
“Malah, Kerajaan Negeri juga akan membantu menampung kos rawatannya,” catatnya.
Beliau turut menyeru kepada mana-mana individu yang berhasrat membantu adik Chenta boleh menyalurkan sumbangan kepada bapanya, Encik Mohd Izdwan bin Abd Razak (nombor telefon 017-906 5932) melalui nombor akaun CIMB 7036488792.
“Semoga adik Chenta terus tabah menghadapi ujian berat ini dan marilah kita berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan serta memberi kesembuhan kepada adik Chenta agar dia kembali ceria dan gembira semula,” katanya.








