
PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil langkah intervensi segera bagi menstabilkan bekalan minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol di pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Ali berkata, ini susulan gangguan bekalan yang berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran ekoran harga minyak sawit mentah (CPO) dunia yang tinggi.
Beliau berkata, langkah itu diambil selaras dengan hasil taklimat khas KPDN bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi Jumaat yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Katanya, antara langkah yang diambil kerajaan dalam menstabilkan bekalan minyak sawit tulen ia dengan memutuskan untuk mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol.
“Ia betujuan untuk membolehkan para syarikat meningkatkan semula pengeluaran dengan segera.
“Sehubungan itu, KPDN juga diarahkan untuk mengarahkan syarikat-syarikat berkenaan mengembalikan pengeluaran pada kadar yang mencukupi untuk keperluan semasa.
“KPDN juga akan memperketatkan penguatkuasaan bagi mencegah sebarang aktiviti penyorokan dan penyelewengan bekalan minyak masak, katanya dalam kenyataan media di sini pada Jumaat.
Armizan turut berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan segera ini akan memastikan bekalan minyak masak stabil di pasaran, terutama menjelang bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.
Mengulas lanjut mengenai gangguan bekalan minyak sawit tulen kini, beliau berkata, ia disebabkan oleh kenaikan kos pengeluaran ekoran harga minyak sawit mentah dunia CPO yang tinggi.
“Menurut data, harga purata CPO bagi Januari 2025 adalah RM4,672.50, manakala pada Februari meningkat kepada RM4,759.00.
“Susulan daripada kesan harga tinggi CPO yang berlarutan, syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengurangkan pengeluaran bagi mengawal kos, berikutan terikat dengan perintah penjualan harga kawalan maksimum minyak kemasan botol yang berkuat kuasa,” ujarnya.




