
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menerusi penyertaan dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 yang sedang berlangsung di Langkawi.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ia juga berkeupayaan menjadi medan strategik bagi mengangkat keupayaan syarikat tempatan agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Fokus utama tahun ini adalah untuk membuka lebih banyak ruang kepada PKS memasarkan produk dan perkhidmatan berasaskan inovasi serta teknologi tinggi.
“LIMA kali ini perlu memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana agar dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui inovasi.
“LIMA juga akan memangkin pertumbuhan ekonomi dengan menarik pelaburan langsung asing dan merancakkan pelancongan serta perdagangan luar negara.
“Ia juga bagi menghimpunkan pemain utama dalam sektor pertahanan dan penerbangan komersial, termasuk dalam bidang pembaikan dan pengubahsuaian (MRO), Internet benda (IoT), satelit dan teknologi angkasa,” katanya menerusi Taklimat Harian Perdana Menteri disiarkan pada Facebook rasmi Anwar Ibrahim, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Nashrul berkata, Anwar mengingatkan agar semua pihak perlu memberikan sokongan padu kepada syarikat tempatan yang menyertai pameran ini agar mereka dapat menonjolkan keupayaan Malaysia dalam bidang berkaitan.
Tengku Nashrul berkata, Perdana Menteri turut mendoakan agar segala persiapan dan pelaksanaan LIMA 2025 berjalan lancar serta mengalu-alukan kehadiran para pelabur, pempamer dan pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Perdana Menteri turut mengalu-alukan kehadiran pempamer, pelabur dan pelawat dari dalam dan luar negara untuk menjayakan LIMA 2025 sebagai antara edisi yang bermakna dalam sejarah penganjurannya, insya-Allah,” katanya.
LIMA 2025 turut dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI), meningkatkan perdagangan luar negara serta merancakkan sektor pelancongan.






