
KOTA KINABALU – Keputusan Peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2025 mencatatkan pencapaian paling membanggakan dalam tempoh sedekad apabila merekodkan jumlah calon memperoleh pangkat Mumtaz tertinggi sejak 10 tahun lalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, seramai 213 calon SRU berjaya mencapai pangkat Mumtaz, manakala 85 calon SMU turut memperoleh keputusan cemerlang sama.
“Pencapaian itu mencerminkan peningkatan prestasi pendidikan agama Islam di Sabah yang semakin memberangsangkan dari tahun ke tahun.
“Kejayaan ini bukan sahaja hasil usaha gigih para pelajar, ia membuktikan dedikasi para guru, keberkesanan pengurusan sekolah serta komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam memperkasa pendidikan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Keputusan Peperiksaan SRU dan SMU Tahun 2025, pada Khamis.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Sabah akan terus memastikan kualiti pendidikan agama dipertingkatkan melalui penyediaan kemudahan pembelajaran yang lebih baik, infrastruktur kondusif serta latihan berterusan kepada para guru.
Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada JHEAINS , Ahli Lembaga Peperiksaan, para pentadbir sekolah, guru-guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan para pelajar.



