
KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang berpihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam tuntutan berhubung hak 40 peratus hasil bersih Sabah sebagai satu kemenangan besar buat rakyat negeri itu.
Beliau berkata, keputusan bersejarah tersebut bukan sahaja menegakkan keadilan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), malah membuktikan bahawa perjuangan rakyat Sabah untuk menuntut hak mereka akhirnya membuahkan hasil.
“Saya mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Mahkamah atas keputusan bersejarah yang berpihak kepada SLS dalam tuntutan berhubung hak 40 peratus hasil bersih yang sepatutnya dikembalikan kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Madius turut menyeru agar Kerajaan Persekutuan tidak merayu semula keputusan tersebut, sebaliknya menghormati keputusan mahkamah dan segera melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan.
Menurut keputusan Mahkamah Tinggi, kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu mengadakan rundingan dalam tempoh 90 hari bagi menentukan jumlah sebenar hasil bersih 40 peratus yang wajar dikembalikan kepada negeri itu.
Seterusnya, bayaran atau pelunasan amaun yang dipersetujui perlu dilaksanakan dalam tempoh 180 hari selepas rundingan selesai.
“Sebagai Ahli Parlimen Tuaran, saya konsisten sejak sekian lama memperjuangkan perkara ini dalam setiap persidangan Dewan Rakyat.
“Malah, dalam perbahasan Belanjawan 2026 pada Selasa lalu, saya turut membangkitkan bahawa bajet negara tidak mencerminkan kedudukan Sabah sebagai rakan setara (equal partner),” katanya.
Beliau turut menyatakan kesyukuran atas keputusan itu dan berharap agar pelaksanaannya dapat dilakukan dengan penuh tanggungjawab serta kerjasama erat antara semua pihak.
“Syukur kepada Tuhan, hari ini mahkamah telah membuat ketetapan yang berpihak kepada Sabah.
“Saya menyeru agar semua pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan SLS bekerjasama dengan penuh keikhlasan dan melaksanakan perintah mahkamah bagi memastikan hak Sabah dalam Perlembagaan ini dapat dilaksanakan dengan segera, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Sabah yang kita cintai,” ujarnya.




