KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO memberi sokongan terhadap usul dibawa sayap Wanita parti yang menuntut pelaksanaan dasar 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan termasuk pelantikan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, peluang kepada Wanita dan Puteri perlu diberikan secara adil, bukannya dipersoalkan kebolehan mereka sejak awal sedangkan calon lelaki sering diberi laluan di kerusi berpotensi menang.
“Kalau lelaki boleh ditawarkan bertanding di kerusi selamat dan berpotensi, kenapa tidak Puteri?
“Janganlah Puteri hanya ditawarkan di kerusi sukar atau ‘tier three’, kemudian dipersoalkan mengapa tidak menang,” katanya ketika berucap menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Puteri UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Nurul Amal memaklumkan, sehingga kini tiada seorang pun pemimpin Puteri UMNO bergelar Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), walaupun parti pernah memberi peluang bertanding di kawasan yang sangat mencabar.
“Saya sendiri diberi peluang bertanding di Kubang Kerian, Kelantan, berdepan Timbalan Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) pada Pilihan Raya ke-15 lalu. Kita bukan takut bertanding, tetapi keadilan dalam pemberian peluang itu perlu wujud,” katanya.
Tambahnya, tuntutan 30 peratus penyertaan wanita bukan semata-mata untuk mewakili suara wanita, sebaliknya merangkumi isu ekonomi, kesihatan, keluarga serta kesejahteraan negara secara keseluruhan.
“UMNO adalah parti paling lama memerintah negara, tetapi dalam soal ini kita masih ketinggalan berbanding parti lain. Bukan sahaja 30 peratus, malah ketika ini 20 peratus pun belum dicapai,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan Puteri UMNO sudah lama bergerak aktif memperjuangkan isu kesihatan mental golongan muda menerusi pelbagai inisiatif walaupun dengan sumber terhad.
“Puteri ada Biro Mental Health MOODA Care dan kami bergerak secara konsisten.
“Jika benar mahu Puteri menjadi juara isu ini, bantulah kami supaya gerakan ini dapat diperluaskan dan memberi kesan lebih besar,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menolak persepsi bahawa Puteri UMNO hanya mengejar jawatan, sebaliknya menegaskan perjuangan sayap itu didorong oleh rasa sayang kepada parti dan keinginan melihat UMNO kembali kukuh serta menang dalam pilihan raya.
“Puteri hari ini bukan lagi Puteri yang manja. Kami sanggup berlawan dan bekerja untuk memenangi hati rakyat.
“UMNO perlu berani memberi ruang kepada calon daripada kepimpinan Puteri dan Wanita bagi memenuhi kuota 30 peratus calon wanita.
“Ini bukan sahaja mengukuhkan kepimpinan parti, malah memastikan kesinambungan generasi muda yang berwibawa,” katanya.






