SETELAH kerajaan mengumumkan bahawa bermula minggu depan, kita berpeluang memperoleh gambaran secara kasar peningkatan gaji penjawat awam yang dijangka berada pada kadar 15 hingga 47 peratus, saya amat berharap agar perkara ini ‘diterima baik’ oleh golongan sasaran.
Frasa ‘diterima baik’ itu saya interpretasikan dalam tiga bongkah pemikiran, pertama; kakitangan awam mensyukurinya sebagai satu anugerah Ilahi atas kecaknaan Kerajaan Perpaduan; kedua, tidak ada kenyataan politik kebencian terutama daripada kakitangan awam sendiri; ketiga, inisiatif itu akan meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.
Ketiga-tiga perkara itu sebenarnya muncul bersebab.
Sepanjang persoalan (perkara, isu, hal, permasalahan; bukannya pertanyaan ataupun soalan sebagaimana yang biasa difahami sesetengah pihak) ini diperkatakan, banyak kedengaran terutama di media sosial, komentar yang bersifat memperolok-olokkan Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dilabel mereka sebagai kerajaan kaki kencing sehingga tenggelam sudut pandang positif sebahagian kakitangan awam yang baik, yang mengajak kelompok pekerja ke arah mensyukuri usaha murni Perdana Menteri dan Kabinetnya.
Pada masa yang sama, terdapat juga semacam ‘gerakan’ menyebarkan kebencian ke atas Kerajaan Perpaduan dengan mengaitkan Malaysia Madani sebagai slogan yang tidak boleh dipercayai antaranya menghimpit kehidupan rakyat, bergerak atas arahan ‘bangsa asing’ (bukan Melayu), dan membawa negara ‘ke jalan yang salah’ .
Di tengah-tengah permaalahan itu, biasa kita temukan ada segelintir kakitangan awam ‘tidak berada dalam situasi bekerja’ dan kecenderungan ini tidak hanya menyaksikan mereka tiada di ruang kerja – berada di warung kopi, contohnya. Masing-masing berada di tempat kerja namun berlintas langsung dalam talian.
Ketiga-tiga situasi berkenaan jika masih berlaku dalam kalangan (segelintir) penjawat awam, bolehlah dianggap bahawa ‘gunting dalam lipatan’ masih wujud dan hendaklah segera dibasmi mengikut tatacara yang termaktub dalam peraturan perkhidmatan.
Daripada ketiga-tiga salah laku berkenaan, yang paling penting ditangani dengan segera, efektif, dan efisien ialah perkara kedua – menyebarkan kebencian.
Hal itu demikian kerana salah laku pertama dan ketiga akan berlaku dengan sendirinya jika salah laku kategori tersebut berleluasa.
Jangan ambil mudah perkara ini!





