
PUTRAJAYA – Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian merupakan langkah permulaan yang baik dalam mempersiapkan rakyat menghadapi landskap teknologi yang semakin kompleks, terutamanya dengan evolusi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih.
Penganalisis Keselamatan dan Politik dari Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kempen yang bakal dilaksanakan itu akan memberi nilai tambah kepada usaha-usaha dan pembelajaran yang telah dijalankan di peringkat sekolah dan universiti.
Menurutnya, inisiatif itu amat penting berikutan perkembangan pesat teknologi dan peningkatan kecekapan sindiket jenayah siber, selain kemampuan kerajaan menangani isu media baharu yang muncul dalam ekosistem digital bagi menangani cabaran keselamatan serta kejahatan dalam talian.
“Kempen itu merupakan satu permulaan yang baik serta langkah ke hadapan dalam menghadapi isu berhubung kemajuan komunikasi pada masa ini dalam memberi nilai tambah namun harus pantas diberikan pendekatan dari masa ke semasa dari pelbagai konteks untuk pastikan Malaysia sentiasa ke hadapan.
“Ini kerana penting untuk masyarakat sentiasa waspada, khsusnya sindiket yang akan terus menambah baik modus operandi mereka untuk melakukan jenayah siber dalam talian di negara-negara yang aktif dalam media sosial seperti di Malaysia.
“Dari aspek keselamatan dalam talian, ia perlu diberi perhatian dan Kementerian Komunikasi telah mengambil langkah positif untuk melakukan jelajah (Kempen Keselamatan Dalam Talian). Bagaimanapun, ia harus diterus dilaksana secara dinamik, berkala, selain mewujudkan pusat rujukan agar semua pihak boleh memahami elemen-elemen keselamatan yang ada,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy memaklumkan, trend terkini jenayah siber merangkumi penipuan dalam talian, isu perlindungan data peribadi, penyebaran berita palsu, serangan phishing, ransomware, serta penggunaan algoritma tanpa kawalan yang boleh menjejaskan identiti negara dalam konteks perpaduan berdasarkan Lembaga Persekutuan dan Rukun Negara.
Sehubungan itu, beliau berpandangan, keperluan buat kerajaan mengambil tindakan holistik dengan melaksanakan pendekatan perang saraf, menggalakkan audit algoritma kendiri dalam komuniti, serta membentuk kluster komuniti siber di kawasan tertentu bagi melindungi rakyat daripada ancaman siber yang semakin rumit.
“Secara berkala, wujudkan satu mekanisme agar orang ramai boleh menilai setiap hebahan atau maklumat yang dilihat setiap hari agar setiap pihak boleh berhati-hati agar tidak terjebak dengan berita palsu sehingga mencalarkan imej negara selain tubuhkan dasar seperti audit keselamatan seperti menggunakan penggandaan kata kunci (double password) selain meneliti tindakan segera yang boleh diambil pihak berkuasa jika menghadapi ancaman scam atas talian.
“Keperluan langkah operatif dilaksana secara holistik kerana ia penting bagi memastikan ia selaras dengan perkembangan modus operandi perjalanan keselamatan siber yang sentiasa menambah baik modus operandi mereka sama ada dalam kontak scammer ataupun elemen lebih besar seperti ideologi berasaskan agama, kaum, radikal, subversif yang tidak berlatar belakang Lembaga Persekutuan. Ini antara yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Nirwandy berkata, keperluan untuk memperluas penggunaan teknologi tinggi seperti chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) agar maklumat palsu boleh diperangi secara holisitik, selain membolehkan pengguna menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian.
“Wujudkan semak fakta (fact check) dalam memastikan masyarakat awam lebih mudah memahami bentuk pola atau modus operandi scammer baharu dan apakah bentuk terbaharu fitnah melalui penggunaan algoritma dan juga memastikan supaya perkara yang orang ramai ingin tahu berada di hujung jari mereka satu-satunya langkah kehadapan dan perlu terus dilaksanakan.
“Ini bagi memastikan perkembangan keselamatan siber seimbang dengan evolusi AI ancaman yang mungkin pada masa hadapan akan lebih bersifat automatik (Autonomous Weapon System). Malahan, ransomware, phishing, malicious e-mail juga boleh dilakukan secara automatik. Pakej keselamatan itu harus selari dengan apa yang berlaku dalam konteks keselamatan siber hari ini. Jadi, kita harus bersedia,” katanya.
Semalam, lebih 10,000 sekolah dan universiti awam di seluruh negara akan terlibat dalam Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan internet dalam kalangan masyarakat.
Kementerian Komunikasi menerusi kenyataan bersempena Hari Keselamatan Internet 2025 memaklumkan bahawa kempen ini digerakkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkasakan pengetahuan rakyat tentang keselamatan dalam talian.


