
KOTA KINABALU – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas mandat yang diberikan dalam Pilihan Raya Negeri ke-17, menyifatkan kemenangan itu sebagai ‘kemenangan rakyat’.
Menurut Hajiji, kepercayaan yang diberikan meneruskan tanggungjawab memimpin negeri ini adalah hasil sokongan padu rakyat terhadap agenda pembangunan dan hala tuju yang dibawa GRS sejak penggal lalu.
“Terima kasih atas mandat ini. Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat.
“Ia milik setiap daripada anda yang percaya kepada visi kita, menyokong usaha kita, dan berkongsi impian kita untuk masa depan Sabah yang lebih cerah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakyat menjadi pemangkin kepada kemenangan gabungan itu, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pembangunan negeri.
“Marilah kita meraikan kemenangan ini sebagai permulaan kepada sebuah bab baharu, yang dipenuhi dengan tujuan diperbaharui serta tekad bersama untuk membina masa depan lebih baik untuk Sabah dan rakyatnya,” ujarnya.
Hajiji berkata, komitmen GRS kekal tertumpu kepada pelaksanaan agenda pembangunan holistik ‘Hala Tuju Sabah Maju Jaya’ (SMJ) dan kesinambungan SMJ 2.0 berasaskan empat tonggak: Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
Beliau menegaskan bahawa GRS akan bekerja tanpa henti untuk memperjuangkan aspirasi rakyat serta memastikan setiap suara didengari.
“Dengan perpaduan sebagai kekuatan kita, marilah kita melangkah ke hadapan bersama-sama dan memastikan kemenangan ini benar-benar membawa makna,” katanya.
Hajiji turut mengajak semua parti yang bertanding supaya merapatkan saf dan kembali bekerjasama demi pembangunan negeri.
“Kepada semua pihak lawan… marilah kita merangkul semangat demokrasi dengan bersatu padu dan beriltizam bekerja secara kolaboratif demi kebaikan Sabah secara keseluruhan,” seru beliau.




