
KOTA KINABALU – Polis sedang giat mengenal pasti penunggang motosikal yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan UMS berhampiran Plaza Alam Mesra di sini, malam tadi, yang mengakibatkan seorang pejalan kaki maut dan seorang lagi cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku pada Jumaat kira-kira pukul 10.40 malam yang melibatkan dua pejalan kaki perempuan serta dua buah motosikal.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila seorang penunggang motosikal perempuan dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke arah Sepanggar, melanggar dua pejalan kaki yang melintas jalan secara tiba-tiba dari arah kanan ke kiri.
“Kedua-dua pejalan kaki dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Delima,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, salah seorang pejalan kaki meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sebuah lagi motosikal yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya juga dipercayai terlibat dalam kejadian, namun penunggangnya melarikan diri dan masih belum dikenal pasti.
“Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti penunggang motosikal yang melarikan diri.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan.





