KUCHING – Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut manakala pemandu lori cedera dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori sampah di Jalan Teluk Bandung, Santubong pada pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa, kejadian berlaku kira-kira jam 10:20 pagi apabila lori milik sebuah syarikat swasta dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Lori tersebut membawa tiga individu termasuk pemandu dan dua kelindan. Ketika kejadian, mereka sedang dalam perjalanan dari Kampung Santubong menuju ke kawasan sekitar Jalan Teluk Bandung bagi kerja kutipan sampah harian,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Menurut beliau, mangsa tersebut disahkan meninggal dunia pada jam 9:11 malam tadi oleh pegawai perubatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) tempat beliau dirawat selepas kejadian.
“Pemandu lori berusia 35 tahun turut menerima rawatan di zon kuning HUS, manakala seorang lagi kelindan berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, pemandu boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000.







