
KUCHING – Program Jelajah Jom Sihat anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini menyaksikan penyertaan aktif Kelab Literasi Digital Warga Emas yang diketuai oleh Sajali Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Pak Jali.
Pak Jali, 74, yang juga koordinator program berkata, penganjuran tersebut bertujuan menghimpunkan warga emas dalam suasana santai, sekali gus mengeratkan silaturahim dan berkongsi pandangan sesama mereka.
“Kita buat program ini secara santai seperti duduk di kedai kopi, sambil berbual, bertukar-tukar pendapat dan merapatkan hubungan,” katanya.
Menariknya, program ini turut menawarkan cendol percuma kepada orang ramai dengan syarat mereka perlu menjawab soalan yang diajukan oleh Pak Jali, sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menghargai warga emas.
Walaupun bergelar orang kurang upaya (OKU), Pak Jali tetap aktif memimpin pelbagai aktiviti kelab, sekali gus menjadi inspirasi kepada golongan seusianya untuk terus aktif dan berdaya saing meskipun menjelang usia senja.

Kelab Literasi Digital Warga Emas berpegang kepada visi untuk menjadikan warga emas celik digital dan berdaya maju dalam penggunaan teknologi, sekali gus membolehkan mereka berinteraksi, berinformasi, dan beradaptasi dengan dunia digital secara inklusif dan selamat.
Dari segi misi, kelab ini memberi fokus kepada penyediaan pendidikan digital yang mesra warga emas, dari peringkat asas sehingga lanjutan. Ini termasuk meningkatkan kefahaman teknologi melalui bengkel, latihan, dan sesi interaktif; mendidik tentang keselamatan siber; menggalakkan penggunaan teknologi untuk kesejahteraan hidup; serta mewujudkan komuniti sokongan digital.
Matlamat utama kelab pula adalah membimbing warga emas menguasai kemahiran digital agar mereka mampu beradaptasi dengan perubahan teknologi, meningkatkan interaksi sosial, dan menjalani kehidupan lebih mudah serta selamat dalam era dunia digital hari ini.







