
SIBU – Berkat semangat gotong-royong, Kelab Belia Lestari tampil menyantuni masyarakat dengan mengagihkan 500 pek bubur lambuk kepada penduduk sekitar Kampung Usahajaya Baru, Sentosa pada Ahad.
Pengerusinya, Muhammad Mustaqim Hasin berkata, program perkongsian rezeki itu merupakan aktiviti tradisi kelab berkenaan setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meraih keberkatan bulan mulia, malah menjadi medan terbaik untuk menggalakkan golongan belia turun padang menyertai aktiviti kebajikan.
“Menariknya, semua proses penyediaan bubur lambuk bermula daripada mencari bahan, memasak, membungkus sehinggalah kepada pengagihan dilakukan sepenuhnya oleh ahli kelab secara bergotong-royong.
“Malah, dana bagi menjayakan program ini juga adalah hasil sumbangan ikhlas daripada poket ahli kelab sendiri tanpa menerima sebarang peruntukan atau tajaan daripada pihak luar,” katanya ketika ditemui semasa proses pengagihan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sentosa.

Mengulas lanjut, Muhammad Mustaqim berkata, kelab yang ditubuhkan sejak tahun 2020 itu bertindak sebagai platform untuk memperkasa peranan golongan muda dalam masyarakat melalui pelbagai gerak kerja amal.
Jelas beliau, penyertaan belia dalam persatuan seumpamanya mampu menjadi perisai daripada mereka terjebak dengan gejala negatif dan aktiviti tidak bermoral.
“Kita sedia maklum penglibatan belia dalam kerja amal hari ini masih agak terhad kerana mereka banyak terdedah kepada pengaruh media sosial dan hiburan lain.
“Justeru, penubuhan Kelab Belia Lestari bertujuan memanggil lebih ramai golongan muda untuk berganding bahu melaksanakan aktiviti bermanfaat, sekali gus menabur bakti kepada komuniti setempat,” ujarnya.



