KUANTAN – Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka melakar sejarah dengan menganjurkan kejohanan boling buat pertama kali di sebuah pasar raya, di Mentakab, dekat Temerloh.
Kejohanan boling Piala Kadi Daerah Jengka itu adalah sebagai usaha menarik penyertaan kariah ke arah gaya hidup sihat melalui sukan.
Penganjuran kali pertama itu mendapat sambutan luar biasa daripada peserta dari FELDA sekitar Wilayah Jengka.
Kadi Daerah Jengka, Nik Ibrahim Nik Abdullah berkata, objektif utama penganjuran kejohanan adalah untuk mengangkat peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti secara menyeluruh.
“Biro Sukan yang ditubuhkan mahu memberi nafas baharu kepada aktiviti masjid.
“Jadi, kami mulakan dengan boling kerana ia lebih santai, mudah disertai semua peringkat umur dan tidak terlalu membebankan dari segi fizikal,” katanya.
![]()
Nik Ibrahim menjelaskan, kejohanan itu juga akan diperluaskan dengan sukan lain seperti badminton, futsal atau ping pong untuk menarik lebih ramai ahli kariah.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud memaklumkan, kejohanan berkenaan akan dijadikan program tahunam.
“Ini adalah satu inisiatif yang sangat bagus kerana turut membuka peluang untuk kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, termasuk penaja,” katanya.




