KUANTAN – Kehadiran sebenar penyokong yang jauh daripada sasaran pada Himpunan Hogoh Jelai anjuran Perikatan Nasional (PN) malam tadi menimbulkan persoalan terhadap tahap keyakinan dan mobilisasi pengundi Pas dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.
Timbalan Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar berkata, Himpunan Hogoh Jelai yang meletakkan sasaran 30,000 penyokong PN itu dicanang akan menjadi manifestasi kekuatan gabungan berkenaan di peringkat akar umbi.
Katanya, jumlah kehadiran sebenar jauh daripada jangkaan menimbulkan perbincangan hangat dalam kalangan pemerhati politik dan masyarakat setempat.
“Dari sudut psikologi politik, keadaan ini boleh dijelaskan melalui satu fenomena yang semakin ketara dalam konteks politik tempatan iaitu ‘malu mata politik’.
“Fenomena ini merujuk kepada keadaan di mana pengundi yang dahulunya cenderung kepada parti tertentu, kini memilih untuk tidak menzahirkan sokongan secara terbuka kerana menyedari keberkesanan dan kecemerlangan kepimpinan lawan,” jelasnya melalui hantaran di Facebook.
Ab Hamid yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuantan berkata, dalam konteks di DUN Jelai, fenomena ini sangat relevan apabila ramai pengundi Pas sendiri berasa ‘segan’ untuk hadir ke perhimpunan itu.
“Ini mungkin kerana mereka sendiri mengakui (secara diam-diam) kewibawaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai yang berprestasi tinggi.
“Kecemerlangan kepimpinan Wan Rosdy sebagai ADUN kawasan itu terserlah dalam beberapa aspek utama termasuk pembangunan fizikal, pertumbuhan ekonomi setempat dan kebajikan sosial rakyat,” tambahnya.






