
LAHAD DATU – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kerap turun ke Borneo merupakan bukti kprihatinan pemimpin nombor satu negara sekali gus isyarat keyakinan Pakatan Harapan (PH) untuk menawan Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata, kehadiran PMX yang kerap meninjau Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga tahun ini bertujuan memastikan bahawa rakyat kedua-dua negeri ini mendapat perhatian yang secukupnya.
“Bukan sahaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, tapi saya melihat bahawa peluang PH, peluang parti kerajaan untuk mengambil alih negeri Sabah umpamanya sangat besar potensinya.
“Kerana kita tahu bahawa Perdana Menteri telah bekerja dengan amat keras sekali dan ini menunjukkan bahawa beliau sangat ambil tahu tentang keadaan yang berlaku di Borneo terutama di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Komuniti Segama Merdeka Madani 2025 di Bilik Gerakan Utama PKR Lahad Datu di Palm Height, baru-baru ini.

Beliau berkata, usaha itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap isu yang dihadapi rakyat Sabah sekali gus memastikan negeri ini turut menikmati limpahan ekonomi dan pembangunan seiring negeri lain di Malaysia.
Mengenai persiapan menghadapi pilihan raya, Azman menjelaskan PKR Sabah telah menggerakkan jentera sejak Jun lepas termasuk memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi.
“Kita bersedia dengan siapa sahaja lawan kita. Kita akan memastikan agenda kita adalah agenda rakyat Sabah manakala soal calon akan diputuskan pucuk pimpinan parti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Lahad Datu, Romansa Lamin berkata menyifatkan lawatan Azman ke DUN Segama sebagai bukti keprihatinan Kerajaan MADANI selain menyorot projek Pan Borneo yang dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun memberi akses jalan raya lebih baik kepada penduduk tempatan.
Pada program itu, seramai 500 penduduk terdiri daripada asnaf, pelajar, orang kurang upaya dan ibu tunggal menerima barang keperluan asas dan bantuan kewangan dengan kerjasama Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak.







