
PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Kedah disarankan untuk melakukan genjatan serangan politik bersama kerajaan persekutuan serta merta ketika negeri itu kini dilanda bencana banjir.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, keutamaan pada waktu ini adalah kerjasama antara kedua-dua pihak demi memastikan mangsa banjir mendapat bantuan segera dan sepatutnya.
“Dalam kita menjaga sensitiviti dan pada masa yang sama memahami keresahan yang sedang dihadapi oleh rakyat dan juga seluruh mangsa-mangsa banjir.
“UMNO Kedah bersimpati dan bersedih dengan musibah banjir yang disifatkan terburuk pernah dialami Kedah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehingga ini dilaporkan, terdapat tujuh daerah dilaporkan terjejas teruk, melibatkan keseluruhan 2,440 keluarga.
Selain itu, sebanyak 52 Pusat Pemindahan Banjir (PPS) telah pun dibuka semua daerah berkenaan.
Dalam pada itu, Shaiful selaku Jurucakap Khas Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah turut bersimpati Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang terpaksa berpindah selepas kediaman rasminya di Seri Mentaloon turut dinaiki air.
“UMNO Kedah mendoakan agar Menteri Besar dan keluarga tabah dan beliau sendiri diberi kekuatan dan sentiasa focus terhadap tugasan dalam menghadapi situasi mencabar ini,” katanya.
Terdahulu, bencana banjir di negeri ini turut menyebabkan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon ditenggelami air.
Pegawai Khas Media Menteri Besar, Helmi Khalid berkata, ia kesan daripada limpahan Sungai Anak Bukit yang terletak di belakang Seri Mentaloon.
Banjir di Seri Mentaloon bukan kali pertama berlaku kerana kejadian sama pernah terjadi dalam bah besar pada 2010 dan kali terakhir pada September lalu, namun keadaan tidak terjejas teruk.







