
PERTARUNGAN tinju yang dinanti-nantikan antara dua pempengaruh media sosial tanah air, DMA Islam dan Abang Koroy, telah dibatalkan pada saat-saat akhir, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan pengunjung Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 yang berlangsung di Dataran Merdeka, malam tadi.
Walaupun ribuan penonton telah bersedia untuk menyaksikan pertarungan antara dua tokoh media sosial tersebut secara langsung, pengumuman rasmi yang dibuat oleh pihak penganjur, Twins Championship, ternyata mengejutkan banyak pihak apabila mereka mengesahkan pembatalan acara tanpa memberikan penjelasan terperinci berhubung punca sebenar.
Difahamkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyatakan rasa terkejut kerana tidak dimaklumkan lebih awal berkenaan penganjuran acara berkenaan secara rasmi.
Namun begitu, KBS menyambut baik keputusan pembatalan pertarungan tersebut memandangkan ia tidak sejajar dengan objektif utama sambutan Hari Belia Negara, yang menekankan aspek pembangunan sahsiah serta penerapan nilai-nilai positif dalam kalangan golongan belia.
Terdahulu, pertarungan tinju antara DMA Islam dan Abang Koroy tular di media sosial, khususnya menerusi platform TikTok dan Instagram, hingga menarik perhatian ramai netizen.
Ruang komen di pelbagai laman sosial turut dipenuhi dengan pelbagai pandangan dan reaksi daripada warganet.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk kelakuan DMA Islam yang sebelum ini tular menerusi rakaman video yang memperlihatkan penggunaan kata-kata kesat dan bersifat provokatif, sehingga menimbulkan persoalan tentang kelayakan beliau sebagai ikon kepada golongan muda.
“Sebagai pempengaruh, tidak semestinya segala perlakuan mereka boleh dijadikan ikutan. Gaya bercakap yang kasar dan mencarut bukan nilai yang wajar dibanggakan dalam sambutan seperti ini,” tulis seorang pengguna Instagram.
Secara keseluruhan, pembatalan acara tersebut dianggap sebagai langkah yang wajar dan tepat, khususnya kerana mesej serta imej yang cuba disampaikan menerusi acara itu tidak mencerminkan semangat dan aspirasi Hari Belia Negara yang berteraskan pembinaan jati diri dan nilai murni dalam kalangan generasi muda.





