
KOTA KINABALU – Yayasan Pengguna Kebangsaan Malaysia (YPKM) menyambut baik pelaksanaan mekanisme kawalan harga terhadap caj rawatan di klinik swasta mengelakkan aktiviti mengaut keuntungan berlebihan dan memastikan rawatan kesihatan yang mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.
Pengerusi YPKM Sabah, David Chan berkata, walaupun menyokong hasrat kerajaan untuk melindungi kebajikan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah, akan tetapi sebarang dasar yang melibatkan struktur bayaran perubatan harus mengambil kira dan menghormati martabat serta integriti profesional pengamal perubatan.
“Doktor di klinik swasta memainkan peranan penting dalam sistem kesihatan negara, menjadi barisan pertama dalam mengenal pasti penyakit dan memberikan rawatan.
“Seorang doktor yang berkualiti bukan sahaja merawat gejala tetapi juga mampu memberi preskripsi ubat paling berkesan untuk mempercepatkan proses pemulihan pesakit.
“Kebolehan ini adalah hasil daripada latihan klinikal bertahun-tahun dan pengorbanan profesional,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, sebarang pelaksanaan kawalan harga perlu mengambil kira bukan sahaja kos ubat-ubatan, tetapi juga nilai khidmat konsultasi dan kepakaran diagnosis yang diberikan oleh doktor.
Jelasnya, jika hanya aspek kos yang diberi penekanan tanpa mempertimbangkan khidmat profesional, ia boleh menjatuhkan martabat profesion perubatan dan mengurangkan motivasi untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan yang tinggi.
David turut menggesa Kementerian Kesihatan untuk mengadakan perbincangan menyeluruh bersama semua pihak berkepentingan termasuk doktor, kumpulan pengguna dan badan pembela pesakit sebelum apa-apa mekanisme kawalan harga dilaksanakan.
“Pendekatan yang seimbang diperlukan bagi memastikan pesakit dilindungi daripada caj melampau, sambil mengekalkan profesionalisme dan mutu perkhidmatan klinik swasta.
“Kami turut komited memberi bekerjasama dan menyumbang dalam perbincangan konstruktif demi memastikan sistem kesihatan negara kekal berkualiti dan mampu diakses oleh semua,” ujarnya.






