KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang meneruskan khidmat kaunter bergerak di lokasi terpilih sekitar kawasan diwakilinya.
Melalui perkhidmatan itu, Chun Kuang dapat berinteraksi dengan lebih dekat dengan penduduk, sambil mendengar masalah atau isu berbangkit di kawasan mereka tinggal.
“Perkhidmatan kaunter bergerak ini sudah lama saya dan pasukan Pusat Khidmat ADUN Semambu buat… ia adalah platform paling mudah untuk bertemu masyarakat.
“Selain dapat berjumpa dengan mereka, mendengar isu setempat yang memerlukan penyelesaian segera, kita juga boleh memberi maklumat mengenai pelbagai inisiatif diperkenalkan Kerajaan MADANI,” katanya.
Terdahulu, beliau mengadakan kaunter khidmat bergerak di pasar malam Indera Mahkota 2, dekat sini.
Selain berjumpa dengan penduduk dan pengunjung, Chun Kuang turut mengagihkan kalendar kepada mereka.
Beliau memaklumkan, siri kaunter khidmat bergerak itu banyak dilakukan di pekarangan atau tapak pasar malam sekitar Indera Mahkota.
Katanya, pemilihan pasar malam sebagai lokasi utama adalah sangat bersesuaian memandangkan ia sentiasa menjadi pilihan ramai masyarakat tanpa mengira kaum dan taraf hidup.
“Di sini lebih mudah mendekati mereka dan kita berpeluang berjumpa dengan pelbagai ragam manusia.
“Semua pihak ada benda yang nak disuarakan dan kita sediakan ruang menerusi khidmat kaunter bergerak ini,” ujarnya.




