
SIBU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas rokok, minuman keras dan produk sejuk beku bernilai lebih RM2.2 juta termasuk cukai serta duti dalam tiga siri serbuan sekitar Sibu, baru-baru ini.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, rampasan itu membabitkan lebih dua juta batang rokok, 8,711 liter minuman keras dan 64,524 kilogram produk sejuk beku.
Dalam serbuan pertama pada 30 Julai lalu, pegawai JKDM menyerbu sebuah bangunan komersial terbiar di Lorong Tunku Abdul Rahman 29A, Sibu. Pemeriksaan menemui 1.2 juta batang rokok dan 3,294.72 liter minuman keras.
“Pada hari sama, kira-kira jam 9.40 pagi, serbuan kedua ke atas sebuah rumah kosong di Lorong Kong Yit Khim 8A berjaya merampas 800,000 batang rokok putih pelbagai jenama tanpa setem cukai serta 4,625.28 liter minuman keras,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Sibu pada Rabu.
Menurutnya, operasi ketiga pada 31 Julai lalu pula menyasarkan sebuah gudang di Lot 572, Jalan Then Kung Suk, Sibu. Hasil pemeriksaan menemukan tiga kontena berisi 64,524 kilogram produk sejuk beku dan 792 liter minuman keras.
Katanya, semua barangan terbabit dikategorikan sebagai barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan Permit Import.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” jelasnya.




