
KOTA KINABALU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas sebanyak 16,716 liter minuman keras yang cuba diseludup masuk di tiga lokasi berasingan dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM308,468.08.
Pengarahnya, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan pertama di Papar pada 29 Oktober lalu dengan penahanan sebuah lori ‘bonded’ di kawasan Pusingan U Jalan Pan Borneo, Kg Tanaki-Kg Kawang.
“Hasil pemeriksaan menemui minuman keras jenis bir di dalam lori yang disyaki cuba diseludup masuk daripada Labuan yang dianggarkan 5,368.32 liter yang bernilai kira-kira RM20,345.93.
“Duti dan cukai terlibat ialah dianggarkan berjumlah RM83,230.43,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini, pada Rabu.

Sementara itu, rampasan kedua dibuat di sekitar terminal parking Menumbok pada hari sama melibatkan 5,376 liter dengan anggaran nilai barang RM26,188.80 melibatkan RM83,930.88 nilai anggaran duti dan cukai.
Manakala rampasan ketiga berlaku berhampiran stesen minyak Petron Jalan Beaufort-Menumbok menghala ke Kuala Penyu melibatkan penemuan lori berkunci.
“Hasil pemeriksaan menemui minuman keras pelbagai jenis bir dianggarkan berjumlah 5,972 liter dengan anggaran nilai RM17,793.60 melibatkan duti dan cukai berjumlah kira-kira RM76,978.44,” ujarnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barang larangan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 amaun mana yang lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 amaun mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru, Ahmad menggesa orang ramai agar membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan di talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau di semua pejabat Kastam yang terdekat,” katanya.







