
MIRI – Karnival Gawai Tradisional 2025 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di pekarangan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Malaysia (FORUM), Miri menjadi medan penting bukan sahaja dalam meraikan warisan budaya Dayak khususnya komuniti Orang Ulu, malah memperkukuh ekonomi usahawan muda tempatan.
Acara dua hari yang berlangsung pada 12 dan 13 Jun itu menyaksikan penglibatan aktif usahawan belia menerusi pengendalian gerai makanan tradisional, kraftangan etnik dan produk inovatif berasaskan budaya tempatan.
Inisiatif ini memberi peluang kepada golongan muda mempromosikan hasil tangan kreatif mereka kepada pengunjung pelbagai kaum, di samping memperluas pasaran dan mengukuhkan ekosistem ekonomi komuniti berteraskan keusahawanan budaya.
Selain persembahan kebudayaan dan pertandingan tradisional yang memeriahkan suasana, pendekatan inklusif karnival ini turut membuka ruang kepada peniaga muda untuk meningkatkan pendedahan pasaran, strategi pemasaran fizikal dan jalinan rangkaian strategik bersama pelanggan serta rakan niaga baharu.
Kemudahan bas ulang-alik percuma dari Terminal Bas Pusat Miri turut disediakan bagi memudahkan kehadiran pengunjung, sekali gus merancakkan aktiviti jualan harian sepanjang karnival.
Penganjuran karnival ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dan penganjur dalam memperkasa generasi muda Sarawak ke arah pembangunan ekonomi yang mampan dan berteraskan identiti tempatan.




