HARRY Kane meneruskan prestasi cemerlangnya dengan dua gol, manakala Nicolas Jackson menjaringkan gol pertamanya untuk Bayern Munich dalam kemenangan 5-1 ke atas Pafos dalam saingan Liga Juara-Juara.
Keputusan itu membolehkan Bayern Munich meraih dua kemenangan daripada dua perlawanan dalam peringkat liga musim ini, selepas kemenangan 3-1 ke atas Chelsea pada aksi pertama, di mana Kane turut menjaringkan dua gol.
Selepas mencatat rekod sebagai pemain terpantas menjaringkan 100 gol dalam liga utama Eropah Jumaat lalu, Kane tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan kali ini – menolak bola masuk seawal minit ke-14.
Raphael Guerreiro menambah gol kedua enam minit kemudian, sebelum Jackson menjaringkan gol ketiga Bayern pada minit ke-31 – jaringan pertamanya sejak menyertai kelab itu secara pinjaman dari Chelsea pada musim panas lalu.
Walaupun tidak terkenal dengan kemahiran menggelecek, Kane mencipta detik menarik apabila melepasi pertahanan Pafos di sebelah kiri sebelum merembat masuk gol keempat Bayern pada minit ke-34.
Itu adalah gol ke-17 Kane dalam sembilan perlawanan musim ini dalam semua pertandingan untuk Bayern.
Pafos akhirnya menjaringkan gol saguhati menjelang rehat menerusi satu rembatan deras dari luar kotak penalti oleh Mislav Orsic yang menjadi jaringan pertama kelab itu dalam sejarah Liga Juara-Juara.
Berbaki 21 minit permainan, Michael Olise menambah jaringan kelima untuk Bayern, menyudahkan bola dari sudut sukar selepas percubaan awal Jackson ditepis penjaga gol.





