
KUALA LUMPUR – Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau sedar telah mengeluarkan kenyataan bersifat ‘cherry picking’ dalam mengulas buku “Becoming Hannah: A Personal Journey,”.
Kamarul Zaman berkata demikian ketika disoal peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Hannah Yeoh pada perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri Belia dan Sukan itu terhadapnya berhubung dua catatan Facebook yang dibuat beliau pada Mei 2017.
Beliau mengakui pandangannya terhadap penulisan Hannah hanya berpandukan kepada 11 muka surat dan tidak menjadikan keseluruhan konten buku tersebut sebagai rujukannya dalam memberi kenyataan kepada masyarakat awam.
Sangeet : Boleh tuan (Kamarul Zaman) sahkan melainkan sebarang muka surat tersebut (11 muka surat), tiada sebarang muka surat lain di dalam Buku “Becoming Hannah: A Personal Journey,” yang tuan merujuk atau bergantung. Setuju.
Kamarul Zaman : Setuju.
Sangeet : Jadi, keseluruhan pembelaan di mahkamah bergantung kepada 11 baris sahaja di dalam buku ini. Setuju.
Kamarul Zaman : Tidak setuju
Sangeet : Ada rujuk mana-mana muka surat lain. Kita dah lalui satu persatu sebentar tadi. Pembelaan tuan tidak merujuk mana-mana muka surat. Setuju.
Kamarul Zaman : Setuju.
Sangeet : Maksudnya pembelaan tuan bergantung kepada 11 baris ini sahaja.
Kamarul Zaman : Ya.

Dalam pada itu, mahkamah bertukar menjadi panas apabila Kamarul tidak berpuas hati terhadap soalan diajukan oleh peguam, mewakili Hannah.
Sangeet : (Tuan hanya berpandukan) 11 muka surat dari satu buku yang mempunyai 111 muka surat. Sedar atau tidak.
Kamarul Zaman : Soalan tidak jelas, kenapa tanya sedar atau tidak. Itu bukan soalan.
Sangeet : Sabar Dr (Kamarul), kita baru bermula. Saya ulang tuan petik 11 muka surat sahaja dari buku yang ada 111 muka surat. Itu dalam pengetahuan tuan.
Kamarul : Setuju.
Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei, 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.
Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.
Dalam pernyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu kerana bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian.








