MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meneliti dan mengkaji keberhasilan penggunaan spektrum dan frekuensi yang berbeza seperti digunakan Korea Selatan bagi mengatasi masalah liputan internet dalam bangunan (In-Building-Coverage).
Menurut Fahmi, berdasarkan taklimat bersama pihak LG U+, keberkesanan kaedah tersebut telah dibuktikan di Korea Selatan yang menghadapi masalah sama sebelum ini.
“Mereka memaklumkan penyelesaian yang melibatkan satu frekuensi, satu spektrum, jadi saya minta MCMC teliti dapatan dan pandangan daripada pihak LG U+.
“Sekiranya sesuai dan boleh dimanfaatkan di Malaysia, kita akan usahakan ‘proof-of-concept’,” katanya dalam sebuah pertemuan bersama pihak LG U+ di Seoul, Korea Selatan.

Dalam pertemuan sama, Naib Presiden Eksekutif LG U+, Johan Suehyun Chung dan pegawai-pegawai kanan syarikat turut berkongsi status liputan rangkaian 5G di Korea Selatan yang bermula pada April 2019 lalu.
Fahmi turut diberi taklimat tentang aplikasi kecerdasaan buatan (AI) yang dibangunkan LG U+ untuk membantu pengguna menjawab panggilan telefon, selain mengesan sekiranya panggilan tersebut mempunyai unsur-unsur penipuan (scam).
“Ini antara teknologi terbaharu yang boleh dipelajari oleh Malaysia dalam pada kita meningkatkan keselamatan pengguna,” katanya.





