
KOTA KINABALU – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengisytiharkan RM7.50 sebagai kadar zakat fitrah Sabah bagi 2025.
Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin berkata kadar berkenaan dikenakan ke atas setiap umat Islam yang bermastautin di Sabah.
“Kadar ini adalah berasaskan sukatan satu
gantang baghdad atau bersamaan 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh majoriti penduduk Sabah.
“Pada tahun ini, Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS mensasarkan pungutan zakat dan fitrah sebanyak RM155 juta.
“Pungutan zakat fitrah dijangka berjumlah RM12.6 juta manakala pungutan zakat harta dijangka berjumlah RM142.4 juta pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Yahya, MUIS akan melancarkan penggunaan sistem QR Pay Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB BIZ) untuk bayaran Zakat Fitrah tahun ini .

“MUIS juga akan menerima bayaran Zakat Perniagaan dari Bank Islam Malaysia Berhad,”katanya.
Tambah beliau, sepanjang bulan Ramadan tahun ini juga, Bahagian Zakat dan Fitrah telah memperuntukkan sebanyak RM19.6 juta untuk diagihkan kepada asnaf.
“RM18 juta akan diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf iaitu seramai 55,000 orang asnaf bagi menggembirakan hati mereka juga sebagai persediaan untuk menyambut satu syawal.
“Manakala sebanyak RM1.6 juta pula akan diagihkan kepada 2,050 orang wakil amil fitrah sebagai amil upah kerana mereka bertugas memungut dan mengagihkan zakat fitrah sepanjang bulan ramadan tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut berkongsi berkenaan jumlah pungutan zakat dan agihan bagi zakat harta dan zakat fitrah untuk tahun lalu.
“Jumlah pungutan zakat harta adalah sebanyak RM122,358,037.15, manakala pungutan zakat fitrah pula adalah sebanyak RM12,095,323.50, yang menjadikan jumlah keseluruhan pungutan zakat Sabah pada tahun lalu adalah sebanyak RM135,453,360.65.
“Jumlah pembayar zakat fitrah pada tahun 2024 ialah 1,612,556 orang iaitu meningkat seramai 5,369 orang pembayar atau 0.33 peratus berbanding tahun 2023 iaitu 1,607,187 orang.
“Bagi agihan zakat pula, pada tahun lalu, Bahagian Zakat dan Fitrah, MUIS berjaya membuat agihan kepada Asnaf sebanyak lebih RM147,206,600.38, yang melibatkan 114,044 orang asnaf, manakala lebihan yang tidak sempat diagih pada hujung tahun lalu telah mula diagih pada awal tahun ini,” kongsinya.





