
PORT DICKSON – Inisiatif Jualan Rahmah MADANI terbukti sebagai antara langkah intervensi yang berkesan dalam usaha kerajaan meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya dalam kalangan penduduk di peringkat akar umbi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan program tersebut terus menerima sambutan menggalakkan daripada rakyat susulan perluasan inisiatif berkenaan ke seluruh negara termasuk kawasan pinggir bandar.
Menurut Armizan, selain membantu rakyat secara langsung, pelaksanaan program itu juga menjadi platform kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk berinteraksi secara terus dengan masyarakat bagi mendapatkan maklum balas serta cadangan penambahbaikan.
“Masyarakat memperakui bahawa program ini benar-benar sampai ke peringkat akar umbi dan menepati keperluan harian mereka.
“Sebagaimana yang kita maklum, peruntukan bagi program Jualan Rahmah pada tahun ini telah pun ditambah. Maka, kita berharap agar Belanjawan 2026 turut memberikan ruang tambahan supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaatnya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Program Jualan Rahmah MADANI dan Kenduri Rakyat di Kampung Pachitan, sempena Program Ukhwah MADANI dan Permukiman Ahli Parlimen Kerajaan MADANI di sini.
Selain di Kampung Pachitan, Armizan turut memaklumkan bahawa program berkenaan turut dilaksanakan di Padang Petanque, Batu 1, Port Dickson, masing-masing menawarkan 42 dan 50 unit simpanan stok (SKU) dengan harga diskaun yang mampu milik.
Jelas beliau lagi, usaha mendapatkan maklum balas rakyat turut disokong menerusi penyertaan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan MADANI yang turun padang menyantuni rakyat dan menyelami realiti kehidupan harian mereka sepanjang program permukiman selama dua hari itu.
“Ini bukan semata-mata soal jual barang murah, tetapi bagaimana dasar ini dilaksanakan berteraskan keperluan sebenar rakyat.
“Oleh itu, penglibatan Ahli Parlimen sangat penting untuk menyampaikan suara masyarakat dari kawasan masing-masing,” ujarnya.
Tambah beliau, pelaksanaan program Jualan Rahmah MADANI juga melibatkan kerjasama strategik sektor peruncitan termasuk pasar raya dan kedai runcit bagi memastikan manfaat program dapat diperluas secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.


