
KOTA KINABALU – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima aduan berkenaan isu tular melibatkan dakwaan beberapa warga Pakistan memperoleh kad pengenalan biru di Sabah, isu yang sama pernah tular pada tahun 2019.
Menurut kenyataan JPN, dakwaan berkenaan turut menyatakan ‘Pejabat JPN Sabah sentiasa dipenuhi oleh Pakistan buat permohonan IC’, selain disertakan beberapa kad pengenalan yang didakwa berkaitan.
Susulan itu, pihak JPN mengambil tindakan terhadap salah seorang individu terlibat, iaitu pemegang kad pengenalan Mohd Izaz bin Abit, selepas didapati menggunakan sijil kelahiran milik orang lain untuk mendapatkan dokumen pengenalan tersebut.
“Pihak Timbalan Pendakwaraya telah mengarahkan tindakan undang-undang diambil kerana mendapati individu berkenaan menggunakan sijil kelahiran milik orang lain untuk mendapatkan kad pengenalan.
“Kad pengenalan berkenaan juga telah dirampas selepas pengakuan diperoleh daripada individu dan penganjur permohonan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.

Dalam pada itu, semakan kesahihan turut dibuat ke atas nombor kad pengenalan yang ditularkan dan JPN mengesahkan bahawa individu berikut merupakan warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.
“Antaranya, pemegang kad pengenalan Abd Rauf bin Hamzah berstatus warganegara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b), pemegang kad pengenalan Mohd Abzah Ulamai Dar berstatus warganegara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(a).
“Dan Pemegang kad pengenalan Said Bashar bin Shah Zadar berstatus warganegara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) dengan pengesahan bahawa bapanya merupakan warganegara Malaysia sejak 6 Mac 1958,” katanya.
JPN turut menjelaskan bahawa dalam mempertimbangkan sebarang permohonan kewarganegaraan Malaysia, pembuktian kelayakan untuk dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia, pembuktian kelayakan terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab pemohon.
“Proses pertimbangan adalah tertakluk kepada syarat-syarat di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 [L.N.82/1964] serta perundangan berkaitan yang berkuatkuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen,” jelasnya.
Tambahnya, jabatan ini ingin menegaskan syarat-syarat ini hanya melayakkan permohonan dikemukakan tetapi tidak menjamin bahawa permohonan kewarganegaraan tersebut akan diluluskan.






