
KOTA KINABALU – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah kini giat mengadakan aktiviti mengumpul derma berupa barangan terpakai untuk diserahkan kepada mangsa bencana yang terlibat dalam musibah banjir dan kebakaran.
Menurut JPN Sabah menerusi kenyataannya di Facebook, menerusi Team Kebajikan Bahagian Mekar dan Koporat (BMK), aktiviti amal tersebut terbuka kepada sesiapa sahaja termasuk kakitangan kerajaan sendiri mahupun orang awam.
“Antara jenis barangan yang disarankan untuk diderma termasuk pakaian lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi, pakaian kelengkapan solat, stokin, selipar, kasut, alatan mandi, alatan dapur serta makanan dan minuman (dikemas kini dari semasa ke semasa memandangkan ada tarikh luput).
“Perlu difahamkan waktu penyerahan barangan berkenaan adalah ketika pihak JPN dipanggil bertugas semasa atau selepas berlakunya musibah di sesuatu tempat.
“Alamat bagi pengumpulan barangan tersebut adalah di ruang menunggu pelanggan, Aras Empat, Blok B, Bangunan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, JPN Sabah,” katanya pada Isnin.
Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN Negeri Sabah di talian 088-488308 atau emel jpnpppsabah@jpn.gov.my.




