BENTONG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita enam kereta mewah dianggar bernilai RM1.5 juta atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Karak di sini, hari ini.
Pengarah Kanan (Penguat Kuasa) JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebuah daripada kenderaan mewah itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelak tindakan undang-undang.
“Hasil pemeriksaan mendapati kereta mewah itu menggunakan nombor pendaftaran tidak sepadan dengan rekod sebenar kenderaan, sekali gus menimbulkan syak terhadap cubaan mengelak tindakan penguatkuasaan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kenderaan terbabit turut melakukan kesalahan lain seperti tiada cukai jalan dan perlindungan insurans, sekali gus menjadikan kes itu antara pelanggaran paling serius dikesan sepanjang operasi.
“Siasatan lanjut turut mendapati motif utama pemandu terbabit berbuat demikian adalah untuk mengelak pengesanan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS),” katanya.
Muhammad Kifli berkata, kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu itu disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sabit kesalahan, katanya, pesalah boleh dikenakan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000, selain tindakan undang-undang lain berkaitan.
“Baki kereta mewah lain disita dalam Ops sama didapati melakukan pelbagai kesalahan jalan raya antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan dan perlindungan insurans,” katanya.
Beliau berkata, selain kereta mewah terbabit, pihaknya turut menyita 15 kereta, lapan motosikal berkuasa tinggi, 102 motosikal di bawah 250cc dan masing-masing sebuah van dan lori.
Dalam operasi bermula 6 pagi hingga 1 tengah hari itu, beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan 1,203 notis atas pelbagai kesalahan.
“Ops Khas ini membabitkan JPJ Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat, dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan.
“Seramai 183 anggota JPJ digerakkan dengan tumpuan penguatkuasaan di LPT1 membabitkan laluan Gombak hingga Karak,” katanya.




