KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang meneruskan pemantauan di semua laluan masuk ke negeri ini bersempena cuti Tahun Baharu Cina bagi memastikan tidak berlaku kesesakan luar biasa.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, pihak JPJ juga akan mendapatkan maklumat terkini pergerakan di lebuh raya utama seperti Lebuh raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) daripada Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM).
“Setakat ini kita belum memperoleh jumlah atau anggaran kenderaan yang akan masuk ke Pahang untuk (cuti) Tahun Baharu Cina, tapi saya dimaklumkan pihak JPJ Pahang akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa.
“Data atau maklumat berkaitan jumlah kenderaan keluar – masuk Pahang itu akan diperoleh daripada LLM, dan pihak JPJ (Pahang) akan membuat rondaan pemantauan secara berkala di lokasi yang sudah dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina di Terminal Sentral Kuantan, malam tadi.
Program itu disertai pegawai dan anggota JPJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Alam Sekitar.
Hadir sama Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman dan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Razam Taja Rahim.
Terdahulu, Razali meluangkan masa lebih sejam menyertai pasukan penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap bas ekspres di terminal itu.
Ditanya mengenai hasil pemeriksaan berkenaan, beliau memaklumkan terdapat kes syarikat bas ekspres yang tidak dibenarkan melakukan perjalanan kerana tidak mempunyai permit perjalanan.
“Untuk kes ini, pihak JPJ Pahang akan mengeluarkan notis kesalahan kepada syarikat terbabit.
“Selain Itu, pihak JBPM turut mengesan kes alat pemadam api digunakan bas ekspres tidak memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya.







