PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata, cadangan itu masih di peringkat awal dan memerlukan penelitian mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Belum ada kajian pada ketika ini. JPA akan melaksanakan kajian terlebih dahulu,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri syarahan perdana bertajuk ‘State Capacity and Directed Growth: A Mission Oriented’ oleh pakar ekonomi, Prof Mariana Francesca Mazzucato di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada 31 Julai lalu memaklumkan bahawa had umur persaraan wajib akan dikaji semula seiring peralihan Malaysia ke arah negara tua.
Perkara itu terkandung dalam Prakarsa Kesembilan RMK13 yang menekankan aspek keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk seluruh rakyat.
Perdana Menteri turut menyatakan pelbagai aspek – termasuk implikasi kewangan dan kesan terhadap peluang pekerjaan – perlu dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan muktamad diambil.
Ketika ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam di Malaysia ditetapkan pada 60 tahun.




