
JOHOR BAHRU – Sebagai menghargai rekod cemerlang diraih pasukan bola sepak negeri, Johor Darul Takzim (JDT), kerajaan Johor hari ini mengumumkan cuti peristiwa pada 28 April nanti.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hari pelepasan itu juga diumum sebagai meraih sokongan daripada warga Johor bagi memeriahkan perlawanan di antara pasukan JDT dan Sri Pahang sempena Piala Malaysia 2024-2025, Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
“Syukur Alhamdulillah. Tahniah pasukan JDT kerana berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 menentang Sri Pahang pada Sabtu ini (26 April).
“Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dengan ini Kerajaan Johor memutuskan untuk mengisytiharkan Cuti Peristiwa pada Isnin, 28 April untuk seluruh rakyat Johor.
“Menjunjung setinggi-tinggi kasih Tunku Mahkota Ismail atas visi, perancangan dan usaha luar biasa dalam menjadikan JDT sebuah kelab bola sepak berprestij, bukan sahaja di Malaysia, bahkan kini disegani di rantau Asia,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Onn Hafiz berkata, dengan empat gelaran Piala Malaysia dalam tangan pada musim 2017, 2019, 2022 dan 2023, misi kejuaraan kelima kini di depan mata.
“Ayuh seluruh penyokong Harimau Selatan, kita banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk perlawanan ini. Semoga kemenangan milik pasukan JDT.
“Jangan lupa, ayuh kita terus gegarkan Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad, 27 April ini, jam 8 malam dalam satu sambutan penuh gilang-gemilang untuk “Chapter 2: The 11”.
“Mari kita hadir beramai-ramai, kibarkan bendera biru merah, dan raikan pasukan kebanggaan kita, Johor Darul Ta’zim,” katanya.




