
SANDAKAN – Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa meneliti segera isu keselamatan orang awam susulan insiden pokok tumbang yang menghempap sebuah kenderaan di kawasan Sandakan Hotel, Isnin lepas.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, kejadian itu menunjukkan keperluan mendesak bagi kerja pemangkasan pokok berskala besar dilakukan segera.
“Pokok-pokok di kawasan ini terlalu tinggi dan boleh mendatangkan risiko selain banyak lampu jalan tidak berfungsi, malah yang berfungsi pun terlalu malap serta terlindung oleh dahan pokok.
“Syukur kerana tiada mangsa yang cedera parah dalam insiden berkenaan dan kita tidak mahu perkara ini berlarutan sehingga mengorbankan nyawa.
“Keselamatan rakyat perlu diberi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki cedera ringan manakala seorang lagi terselamat selepas kereta jenis Perodua Axia yang mereka naiki dihempap pokok tumbang.
Vivian turut menegur kelewatan menyiapkan projek sakit di hadapan jambatan merah yang terus menimbulkan persoalan masyarakat mengenai tahap kecekapan kerajaan dalam menguruskan isu infrastruktur.






