
KOTA BELUD – Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) memainkan peranan penting dalam mempertahankan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah JKOM Sabah, Milus Alu@Wahad berkata, kerajaan yang ada pada hari ini adalah sebuah kerajaan yang prihatin kepada rakyat.
“Tugas JKOM berkomunikasi, menyampaikan maklumat, itu peranan pada masa ini, untuk mempertahankan kerajaan yang ada pada hari ini.
“Kita nak terus lihat kerajaan sama ada di peringkat negeri ataupun Persekutuan yang banyak membantu rakyat dengan sumbangan-sumbangan yang diberikan kepada rakyat.
“Antara sumbangan ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dan kita nampak Perdana Menteri amat memberi perhatian terhadap rakyat dengan menyediakan pelbagai bantuan,” katanya.
Milus berkata demikian semasa merasmikasn Program Imarah Kasih MADANI dan Kasih Ramadan di Masjid Nurul Hasanah, Kupang di sini, pada Ahad.

Jelasnya, kecintaan PMX kepada rakyat adalah sangat besar yang bukan hanya dapat dilihat setelah menjadi Perdana Menteri namun sejak menjadi pemimpin belia lagi.
“Dalam peristiwa Baling, Anwar buat demonstrasi kerana ada penoreh getah yang meninggal dunia akibat kelaparan di kawasan tersebut, beliau adakan demonstrasi untuk mempertahankan dan mendesak kerajaan supaya memberi bantuan.
“Sekarang beliau terjemahkan apa yang diperjuangkan kepada rakyat satu demi satu kita lihat apa yang telah dilakukan, begitu juga kerajaan negeri yang memberikan sumbangan pada masa ini telah diumumkan kelmarin sebanyak RM300 dan bantuan rumah untuk membantu golongan miskin, yang tidak mempunyai rumah,” ujarnya.
Tegasnya, tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dalam membantu rakyat adalah sangat baik dan amat dihargai.
Bercakap mengenai Program Imarah MADANI dan Kasih Ramadan beliau berkata, ia adalah program yang indah kerana dapat memperkukuh hubungan sesama umat manusia dengan pencipta-Nya.
“Program ini sesuai dengan bulan dan tema yang dikemukakan kerana Ramadan itu hendaklah dihidupkan dengan pelbagai amalan dan ibadah yang sangat dituntut oleh Islam kerana bulan ini adalah bulan yang mulia yang akan mempertautkan antara hati hati kita semua,” katanya.
Beliau berkata, menjalankan ibadah sosial iaitu sedekah kepada yang memerlukan juga penting maka dengan itu masyarakat perlu dididik untuk sentiasa bersedekah.
Menerusi program ini, penyampaian sumbangan ikhlas daripada Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kepada seramai 150 golongan asnaf, anak yatim dan anak-anak orang kurang upaya (OKU).




