
DEBAK – Seramai 2,376 penerima bantuan di Betong menerima manfaat menerusi Program Sejambak Kasih Gawai anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2025.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, program tahunan itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk membantu golongan kurang berkemampuan membuat persiapan menyambut perayaan.
“Program ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat. Diharapkan bantuan ini dimanfaatkan sebaiknya dan menjadi pendorong kepada penerima untuk memperbaiki taraf kehidupan,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan bantuan di Rumah Panjang Gara Tindin, Blassau, Debak pada Selasa.
Beliau turut menasihatkan para penerima agar terus berusaha dan percaya kepada kebolehan diri untuk menghadapi cabaran kehidupan.
“Setiap usaha yang dilakukan dengan ikhlas pasti membuahkan hasil. Jangan mudah berputus asa. Teruskan usaha demi kesejahteraan diri dan keluarga,” ujarnya lagi.
Setiap penerima menerima bantuan berupa wang tunai RM100 dan hamper perayaan bernilai RM80 sebagai tanda sokongan dan penghargaan sempena perayaan Gawai yang bakal tiba.




