
KOTA KINABALU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan pengedaran dadah jenis methamphetamine bernilai RM15.28 juta di Pelabuhan Sepanggar.
Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan tersebut dilakukan pada 22 April 2026 hasil risikan dan operasi bersama pasukan penguatkuasaan.
“Rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 305.722 kilogram dan jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM15,286,100.
“Sepasukan anggota Cawangan Narkotik dan Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena 40 kaki yang tiba dari Pelabuhan Klang kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan menemukan 15 kotak yang disyaki mengandungi methamphetamine dengan berat kasar 305.722 kilogram,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini, pada Isnin.

Menurut Ahmad Taufik, modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan mengikrarkan barangan berkenaan sebagai ‘Drink Stuff’ dalam dokumen penghantaran (Bill of Lading) bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Justeru itu, JKDM Sabah menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.







