
IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya menumpaskan beberapa cubaan penyeludupan membabitkan dadah, peranti rokok elektronik (vape), jubin, kereta mewah serta karkas babi dalam empat operasi berasingan sejak 27 Mei lalu.
Pengarah JKDM Perak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM5.5 juta dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM5.3 juta.
Beliau berkata, dalam satu kes pada 5 Jun lalu, pihaknya telah memeriksa sebuah bungkusan di Petaling Jaya, Selangor yang mengandungi lapan bungkusan plastik berisi tumbuhan kering disyaki ganja.
“Berat kasar dadah berkenaan dianggarkan 9,858 gram dengan nilai pasaran sekitar RM966,084. Bungkusan itu menggunakan khidmat syarikat penghantaran dan dipercayai untuk dihantar ke United Kingdom.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.
Mengulas kes kedua, Mohd Nadzri berkata, sebanyak 55,320 unit vape pelbagai jenama bersama 706 keping jubin marmar telah ditemui dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 4 Jun lalu.
“Vape itu dianggarkan bernilai RM896,800 dengan duti RM530,670, manakala jubin marmar yang diikrarkan sebagai plastik bernilai RM70,600 dengan anggaran duti sebanyak RM45,890.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum tujuh tahun,” katanya.
Dalam operasi ketiga pula, pemeriksaan oleh Cawangan Penguatkuasaan Taiping ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Klang pada 27 Mei lalu menemui sebuah kereta mewah Brabham Model BT62 tanpa permit import.
“Kereta itu dianggarkan bernilai RM2.2 juta dengan jumlah duti RM4.2 juta. Ia disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” jelas beliau.
Bagi kes keempat, pada 29 Mei lalu, dua buah lori sejuk beku ditahan di Pengkalan Hulu kerana membawa masuk karkas babi dari negara jiran tanpa dokumen sah serta tidak dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Nilai rampasan karkas babi itu dianggarkan RM1.03 juta dengan duti sebanyak RM518,100. Dua buah lori sejuk beku bernilai RM400,000 turut dirampas.
“Dua lelaki tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.







