SANDAKAN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan 12 warga asing dan seorang warganegara dalam operasi penguatkuasaan Ops GEGAR di sebuah premis hiburan di sini, pada malam Isnin.
Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi ini dijalankan susulan aduan awam mengenai warga asing yang dipercayai tiada dokumen pengenalan diri dan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja di premis tersebut.
Beliau berkata, operasi dimulakan pada pukul 11.24 malam dan berakhir pada jam 12.18 tengah malam yang melibatkan 13 pegawai dari Bahagian Penguat kuasa Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu dan Pejabat Imigresen Sandakan.
“Sepanjang operasi, 35 individu telah diperiksa, dan 12 warga asing ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Selain itu, seorang warganegara Malaysia berumur 53 tahun juga ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, tahanan terdiri daripada tiga wanita warganegara Filipina dan seorang lelaki serta lapan wanita warganegara Vietnam, berumur antara 15 hingga 38 tahun yang kini ditempatkan di Depot Imigresen Sandakan untuk siasatan lanjut.
“Pihak JIM mengingatkan orang ramai dan majikan agar tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya.
Tambahnya, orang ramai juga dialu-alukan untuk memberikan sebarang maklumat mengenai PATI bagi membantu dalam usaha penguatkuasaan.




