KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Datuk Seri Christina Liew memberi bayangan masih mahu bertanding di DUN Api-Api pada Pilihan Raya Negeri (PRN17) Sabah yang akan diadakan tidak lama lagi.
Christina yang sudah memegang jawatan sebagai ADUN Api-Api sejak 2013 berkata, jika diberi peluang untuk bertanding beliau masih ingin mempertahankan DUN itu.
“Saya jaga Api-Api 10 tahun sudah. Saya fikir Api-Api masih ada banyak kerja mahu buat.
“Jika diberi peluang, saya ingin. Tetapi ia bergantung kepada keputusan ketua saya,” katanya ketika diminta mengulas sama ada akan pertahankan DUN Api-Api atau bertanding di DUN lain.
Tambahnya, beliau berharap dapat mempertahan kemenangan dan kekal menjadi kerajaan agar dapat membantu rakyat khususnya dalam membangunkan kawasan tersebut.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pelancaran Persidangan Jaringan Geopark Malaysia (PJRM) 2025 di Marriott Hotel, di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, Christina berkata buat masa ini masih belum ada keputusan sama ada akan bertanding atau tidak pada PRN akan datang ini.
“Kita tunggu, belum lagi ada keputusan.
“Harapan, sudah tentu untuk terus menang dan terus menjadi kerajaan supaya dapat membantu rakyat membangunkan tempat ini untuk membantu rakyat,” ujarnya.




