
SIBU – Sebuah jengkaut musnah sepenuhnya dalam kebakaran di persimpangan lampu isyarat Ulu Sungai Merah, di sini, petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.44 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada 2.50 petang dan mendapati sebuah jengkaut yang berada berhampiran kawasan taman perumahan sedang terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu nozel serta sumber air daripada pam jentera bomba,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada 3.00 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.20 petang selepas keadaan dipastikan selamat.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.




