
SANDAKAN – Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud memulakan Jelajah Harapan Urang Sabah di Dewan Undangan (DU) Gum-Gum sebagai sebahagian daripada usaha menjelaskan peranan serta sumbangan Kerajaan MADANI kepada rakyat di negeri itu.
Menurut beliau, jelajah tersebut merupakan kesinambungan kepada program Jelajah Harapan Urang Sabah yang kini diberi penjenamaan baharu dengan fokus utama memperkukuh kefahaman rakyat terhadap pencapaian kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Apa yang kita mahu jelaskan kepada rakyat Sabah ialah peranan Kerajaan MADANI dan parti-parti yang mendokongnya.
“Ramai yang tidak menghargai usaha dan sumbangan kerajaan ini walaupun dalam tempoh hampir tiga tahun, pelbagai inisiatif pembangunan dan peruntukan besar telah disalurkan kepada rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri siri pertama Jelajah Harapan Urang Sabah @ DU Gum-Gum di Batu 8, di sini pada Jumaat.
Mustapha berkata, masih terdapat segelintir pihak yang menafikan sumbangan Kerajaan MADANI seolah-olah tiada pembangunan dilaksanakan, sedangkan pelbagai kejayaan dicapai termasuk pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.
“Kita dapat lihat sendiri dalam Sidang ASEAN baru-baru ini bagaimana negara-negara besar dunia datang ke Malaysia dan mengiktiraf peranan negara ini.
“Namun di Sabah, disebabkan suasana politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) DU Sabah, ada pihak cuba menutup sumbangan besar ini,” katanya.
Beliau turut menepis dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak dipinggirkan dalam perjanjian perdagangan antara Malaysia dengan negara luar, termasuk Amerika Syarikat.
“Ada yang kata Sabah tidak terlibat, tapi mereka tidak faham isi perjanjian itu.
“Contohnya, barangan minyak kelapa sawit kita tidak dikenakan tarif oleh Amerika Syarikat.
“Ini memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia, khususnya pengusaha sawit di Sandakan yang merupakan antara pengeluar utama di negara ini,” jelasnya.
Tambah beliau, jelajah Harapan Urang Sabah akan menjadi platform untuk menerangkan kepada rakyat akar umbi mengenai dasar, pencapaian dan manfaat Kerajaan MADANI kepada rakyat Sabah, di samping memperkukuh sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan PKR di negeri itu.





