
KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani bersedia menubuhkan Jawatankuasa Khas atau Pasukan Task Force bagi menangani sebarang isu yang boleh mencetuskan kegusaran awam khususnya kepada pihak yang sengaja menimbulkan polemik agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan akan mendapatkan penjelasan segera daripada pelbagai pemegang taruh bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih sebelum sebarang tindakan di ambil ke atas mereka yang sengaja menimbulkan kegusaran awam.
“Kerajaan akan segera mengambil tindakan sekiranya polemik yang ditimbulkan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara kerana polemik yang berteruskan akan membawa kerasahan awam khususnya kepada umat Islam.
“Semua agensi kerajaan sentiasa bekerjasama erat untuk mengambil langkah sewajarnya kepada pihak yang mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat,” katanya dalam jawapan lisan menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad di Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohd Naim menjelaskan, Kerajaan Persekutuan amat tegas terhadap cubaan mana-mana pihak yang dengan sengaja menimbulkan isu-isu agama yang sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat apatah lagi berkaitan denga agama Islam.
Jelasnya, Islam adalah agama rahmah yang membawa kesejahteraan, perpaduan dan kasih sayang serta menjauhi sengketa boleh merosakkan bangsa dan negara.
“Masyarakat awam juga perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat mana-mana pihak yang cuba untuk menganggu ketenteraman masyarakat dalam beragama khususnya dalam agama Islam.
“Tindakan tegas juga boleh dikenakan melalui Akta Hasutan 1948 dan undang-undang berkaitan untuk mengekang ucapan kebencian serta provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan agama,” katanya.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, kerajaan sentiasa komited untuk melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi memberi penjelasan tepat berkenaan keraguan dan isu-isu dibangkitkan melibatkan sensitiviti agama dan kaum di Malaysia.
“Antara program yang telah dilaksanakan adalah penganjuran Persidangan Antarabangsa Ketua-ketua Agama di Petaling Jaya pada 7-8 Mei 2024,” katanya.







