
KABONG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang hilang di perairan Kabong memasuki hari ketiga hari ini dengan penemuan satu jasad oleh nelayan tempatan pada 9.58 pagi, kira-kira 3.4 batu nautika dari lokasi terakhir mangsa dikesan.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, jasad tersebut dibawa ke jeti Kabong sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk proses pengecaman.
“Setakat ini, identiti jasad masih belum dapat dipastikan sama ada ia milik salah seorang daripada dua beranak nelayan yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu. Pengesahan hanya boleh dibuat selepas proses pengecaman oleh ahli keluarga,” jelasnya.
Menurut beliau, operasi SAR bermula seawal jam 7.35 pagi dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk JBPM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Bantuan Sarawak (PBS) dan Rela.
Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Tuah Bujang, 57, dan anaknya, Aiman Tuah, 24, yang keluar menangkap ikan pada Rabu, 3 September lalu.
Keadaan laut bergelora serta hujan lebat pada petang hari kejadian dipercayai menyukarkan mereka untuk kembali ke darat.
Laporan kehilangan dibuat di Balai Polis Kabong pada 4 September, sebelum operasi SAR digerakkan secara besar-besaran.
Muhammad Rais menegaskan usaha pencarian akan diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih belum ditemui.
Foto: Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong




