
LIMBANG – Projek pembinaan Sarawak–Sabah Link Road (SSLR) di utara Sarawak dijangka menjadi pemangkin pembangunan ekonomi serta pelancongan, selain memberi akses lebih baik kepada penduduk luar bandar terhadap kemudahan asas termasuk klinik dan pusat kesihatan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan infrastruktur di kawasan utara negeri itu adalah bukti komitmen berterusan daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam memastikan rakyat menikmati kemudahan yang setara.
“Jalan yang dibina ini bukan sahaja menghubungkan pedalaman Sarawak dan Sabah, tetapi juga bakal membuka peluang ekonomi melalui sektor pelancongan serta mengukuhkan lagi pertanian,” katanya ketika berucap merasmikan SSLR Fasa 2 di Medamit, Limbang pada Khamis.
Beliau turut mendedahkan kerajaan Sarawak bersetuju membiayai pembinaan jalan sepanjang lebih 30 kilometer yang sebelum ini tidak termasuk dalam projek asal. Jalan yang digelar ‘missing road’ itu akan melengkapkan jaringan laluan hingga ke Miri.
“Projek ini pada dasarnya adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan, namun demi kepentingan rakyat dan atas semangat setia kawan, Sarawak mengambil tanggungjawab untuk menyempurnakan bahagian yang tertinggal itu,” jelasnya.
Selain infrastruktur jalan raya, Abang Johari menegaskan kemudahan kesihatan di kawasan pedalaman turut diberi perhatian, termasuk pembinaan dan baik pulih klinik desa agar rakyat tidak lagi perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.
“Pembangunan ini tidak berhenti pada jalan raya semata-mata, malah melibatkan keseluruhan jaringan prasarana seperti elektrik, air bersih, serta telekomunikasi supaya rakyat pedalaman tidak ketinggalan dalam arus kemajuan,” ujarnya.
Dalam jangka panjang, projek SSLR dilihat sebagai jambatan pembangunan menyeluruh sekali gus menghubungkan geografi serta melonjakkan peluang sosial dan ekonomi.
Projek ini diyakini mampu mengangkat utara Sarawak sebagai kawasan yang lebih makmur, seimbang dan inklusif, memastikan rakyat luar bandar menikmati pembangunan yang adil dan menyeluruh.

FOTO: Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak