
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar menghormati proses undang-undang dan tidak terburu-buru membuat dalam andaian terhadap siasatan yang dihadapi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini.
Anwar berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan sehingga ia selesai.
“Mengenai kes Datuk Seri Ismail Sabri, tidak ada pendakwaan lagi, proses siasatan diambil. Jangan kita terburu-buru. Biar kita hormat proses undang-undang.
“Di sebaliknya soalan oh… orang ini boleh (disiasat), orang ini tak boleh (disiasat)… pun tak boleh juga. Kedua-dua ekstrem. Bagi saya sudah masuk kategori melampau yang tidak boleh dipertahankan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Parlimen semalam.
Anwar menegaskan bahawa prinsip utama adalah untuk menyiasat tanpa sebarang unsur berat sebelah, walaupun jika anggota Kabinetnya terlibat.
“Siasat tanpa kira. Kalau tanya mengapa tak ada menteri (dalam Kerajaan Perpaduan disiasat), bagi tahu nama, bagi tahu mana rumah dia simpan duit, saya tidak halang tindakan.
“Jangan kita hukum sebelum selesai proses yang telus dan adil,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM,) Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Ismail Sabri merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram selepas penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah ‘safehouse’ susulan serbuan dilakukan pihaknya.
Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui pentadbiran negara.
Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta dengan kesemua akaun adalah sah dan aktif.
SPRM telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.









