PUTRAJAYA – Tindakan segelintir masyarakat yang masih melakukan aktiviti luar seperti bersukan dan berjoging meskipun cuaca berjerebu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan berisiko tinggi yang memberi ancaman kepada kesihatan diri serta keluarga.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, orang ramai perlu memahami bahawa bahaya jerebu bergantung kepada tahap kepekatan kualiti pencemaran udara selain tahap kesihatan individu turut memainkan peranan, khususnya golongan berisiko tinggi serta memiliki penyakit kronik sedia ada.
Menurutnya, meskipun Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia masih belum mencapai bacaan pada tahap bahaya, pelbagai pihak tidak seharusnya memandang ringan pencemaran jerebu yang sering diiringi cuaca panas sehingga menyebabkan berlakunya dehidrasi serta strok haba.
“Pelbagai pihak perlu tangguhkan terlebih dahulu sebarang aktiviti di luar, khususnya pihak sekolah untuk tidak membuat sebarang kejohanan sukan atau program di luar pada waktu jerebu kerana keadaan persekitaran tidak mengizinkan.
“Walaupun tiada kematian direkodkan di Malaysia disebabkan jerebu namun ada peningkatan pesakit di wad kecemasan disebabkan jerebu disusuli cuaca panas. Kebiasannya jerebu berlaku pada musim panas dan kes disebabkan perkara ini sudah ada meragut nyawa disebabkan oleh strok haba,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr Sharifa berpandangan, rakyat Malaysia tidak seharusnya memandang ringan kesan pencemaran jerebu, terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, perokok serta individu yang menghidap penyakit kronik.

Jelasnya, walaupun Malaysia belum merekodkan kematian secara langsung akibat jerebu, pencemaran udara di negara-negara seperti China dan India wajar dijadikan pengajaran
“Di sesetengah negara seperti China dan India, mereka bukan sahaja mengalami jerebu tebal namun mengalami pencemaran udara disebabkan industri yang mengeluarkan asap tanpa dikawal. Dalam kes seperti ini, ia akan memberi kesan jangan panjang di mana zarah halus akan masuk ke paru-paru sehingga menyukarkan pernafasan dan boleh masuk ke saluran darah.
“Apabila ini berlaku, ia bukan sahaja boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan mencetuskan strok, malah boleh dijangkiti kanser paru-baru. Bagi kanak-kanak, paru-paru tidak boleh tumbuh dan kemungkinan dalam sesetengah kes terhadap warga emas jika jerebu teruk berpanjangan akan menyebabkan kematian khsusnya jika menghidap penyakit kronik,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Sharifa berkata, memandangkan jerebu adalah isu yang berterusan di negara ini, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk memahami bagaimana ia menjejaskan kesihatan pernafasan dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menjaga kesejahteraan mereka.
Beliau turut mengesyorkan penggunaan pelitup muka N95 apabila berada di luar rumah untuk jangka panjang supaya boleh membantu menapis zarah halus yang mingkin berbahaya selain mengambil langkah pencegahan seperti duduk di rumah sekerap mungkin, menggunakan penulen udara berkualiti tinggi dengan penuras High Efficiency Particulate Air (HEPA) selain kekal hidrat sepanjang hari untuk mengurangkan risiko yang dikaitkan dengan jerebu.
“Habuk juga boleh melekat di paru-paru. Jadi, banyaknya minum air selain kerap mandi bagi menurunkan suhu badan, kurangkan buka tingkap khususnya jika nampak jerebu di luar rumah selain bila musim jerebu ini, kena rajin mengemas rumah untuk kita buang habuk, khususnya bagi mereka yang ada anak-anak.
“Penjagaan ventilasi udara di dalam rumah juga perlu diberi perhatian sewajarnya bagi mengelakkan kesan jerebu lebih teruk berlaku, kalau boleh pasang kipas ventilasi bagi memastikan ada sistem pengudaran dalam menurunkan suhu panas di dalam rumah. Apa yang penting, pastikan anda tidak terdedah kepada udara di luar dengan kualiti tidak sihat dan di rumah pastikan ia dalam kualiti yang sihat,” katanya.








